Belum sempat terima keputusan SPM, pelajar maut dalam kemalangan dengan bas
MUAR – Seorang pelajar lelaki yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Parit Jawa, di sini semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut yang melibatkan sebuah motobas dan motosikal.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas dari arah Batu Pahat menghala ke bandar Muar berhenti di lampu isyarat merah.
“Apabila lampu bertukar hijau, pemandu bas memberi isyarat sebelum membelok ke kiri. Ketika itu, sebuah motosikal dari arah belakang telah melanggar bahagian tengah sisi kiri bas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Insp. Muhamad Azim Aziz di talian 018-9704143 atau tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








