Bangkai gajah ditemukan tanpa kedua-dua gading di Sungai Kinabatangan
KOTA KINABALU – Bangkai seekor gajah jantan ditemukan hanyut di Sungai Kinabatangan berhampiran Ladang Angco Jaya dan Lot 4, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan, baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pemeriksaan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mendapati bangkai berkenaan mengalami beberapa kecederaan selain kedua-dua gadingnya hilang.
Menurutnya, JHL pada awalnya menerima laporan mengenai seekor gajah mati di sungai berhampiran Ladang Pontian sebelum pasukan Rapid Response Team (RRT) bersama Renjer Kehormat Hidupan Liar dari Sukau menjalankan pemeriksaan.
“Bangkai itu kemudian ditarik ke tebing sungai dengan bantuan jentera Ladang Angco Jaya bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jafry berkata, gajah jantan itu berketinggian kira-kira 1.8 meter dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun, manakala berdasarkan keadaan bangkai, haiwan berkenaan dipercayai telah mati antara empat hingga lima hari sebelum pemeriksaan.
“Bedah siasat dijalankan pada 1 Oktober lalu dengan sampel organ serta kandungan perut diambil untuk analisis makmal bagi membantu menentukan punca sebenar kematian.
“Pada peringkat ini, punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan. Kita sedang menunggu keputusan makmal serta hasil lengkap bedah siasat.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua aspek kes ini, termasuk keadaan yang menyebabkan kehilangan gading,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian sehingga siasatan dan analisis saintifik lengkap diperoleh.
JHL Sabah turut mengambil keterangan daripada individu yang membuat laporan awal mengenai penemuan bangkai berkenaan.
Jafry berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur penglibatan manusia atau pelanggaran undang-undang berkaitan hidupan liar.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








