BERITA SEMASA

Suami isteri rempuh gajah melintas di Jalan Jerangau-Jabor

KEMAMAN – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka merempuh seekor gajah yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 160, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Jabor, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.58 malam itu, Perodua Ativa dipandu Amirul Afiq Aazmi, 29, bersama isterinya, Farhain Jolius, 23, dari arah Jerangau menuju Jabor.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, gajah berkenaan melintas dari kanan ke kiri jalan kira-kira 10 meter di hadapan kenderaan mangsa.

“Keadaan jalan yang gelap menyebabkan pemandu tidak dapat melihat gajah itu lebih awal sebelum melanggarnya.

“Akibat pelanggaran itu, sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah belakang turut merempuh bahagian belakang Perodua Ativa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan ringan, manakala Amirul dan Farhain menerima rawatan di Zon Hijau Hospital Kemaman.

Sementara itu, Amirul berkata, dia hanya menyedari kehadiran gajah berkenaan apabila haiwan itu sudah berada kira-kira 10 meter di hadapan kenderaannya.

Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke Pasir Puteh, Kelantan selepas bercuti di Kuantan, Pahang.

Kejadian itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya berikutan beberapa insiden kenderaan merempuh gajah liar di kawasan berkenaan sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button