Larian solidariti 290km dari Taiping ke Parlimen demi gajah Dara, Amoi dan Kelat
TAIPING – Satu inisiatif larian solidariti sejauh kira-kira 290 kilometer dari Taiping ke Parlimen Kuala Lumpur akan dilaksanakan selama enam hari bermula 17 Jun ini bagi menyuarakan keprihatinan terhadap nasib tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.
Sekretariat Solidariti Bersama DAK berkata, larian solo itu akan digerakkan oleh Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong sebagai usaha menyuarakan solidariti serta tuntutan agar ketiga-tiga gajah berkenaan dibawa pulang ke tanah air.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan gesaan kepada pihak kerajaan dan pihak berkepentingan supaya memberi perhatian terhadap kebajikan haiwan ikonik negara itu.
“Larian ini bukan sekadar aktiviti fizikal, malah satu bentuk gesaan agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke tanah air. Isu ini perlu diberi perhatian segera oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Choo Seong dijadualkan menempuh larian merentasi beberapa negeri iaitu Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dengan jarak keseluruhan kira-kira 290 kilometer.
Laluan larian tersebut melibatkan Taiping–Ipoh, Ipoh–Kampar, Kampar–Tapah, Bidor–Tanjung Malim, Tanjung Malim–Selayang dan Selayang–Parlimen, sebelum tiba di destinasi akhir pada 22 Jun ini.
Sepanjang perjalanan, beliau turut dijadualkan mengadakan sesi pertemuan bersama masyarakat setempat bagi memberi penerangan dan meningkatkan kesedaran mengenai kempen berkenaan.
Sekretariat itu turut memaklumkan satu penyerahan petisyen akan dilakukan di Parlimen Kuala Lumpur pada hari pertama pembukaan sidang Dewan Rakyat, 22 Jun ini, yang akan diserahkan kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk dibawa dan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, pihak sekretariat berharap inisiatif tersebut dapat membuka ruang perbincangan lebih konstruktif antara kerajaan Malaysia dan pihak Zoo Tennoji, Jepun berhubung masa depan tiga ekor gajah berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








