SUKAN

Lebih 3,000 pelari dari 63 negara sertai Malaysia Ultra-Trail by UTMB

TAIPING – Bandar warisan Taiping sekali lagi menjadi tumpuan antarabangsa apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran edisi ketiga Malaysia Ultra-Trail by UTMB (MUT by UTMB) yang berlangsung bermula hari ini hingga Ahad ini.

Kejohanan larian denai berprestij itu merupakan satu-satunya acara dalam siri dunia UTMB yang diadakan di Malaysia dan menjadi platform kepada pelari tempatan untuk melayakkan diri ke peringkat akhir dunia di Chamonix, Perancis.

Penganjuran tahun ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk lebih 1,000 pelari antarabangsa dari 63 negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Taiping sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.

Ewegene Tan
Ewegene Tan

Pengarah perlumbaan, Ewegene Tan berkata, acara berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman unik kepada peserta, malah turut menjana manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.

Menurutnya, impak sosioekonomi yang dihasilkan menerusi pelancongan sukan dianggarkan melebihi RM20 juta setahun, selain memberi peluang kepada sektor perniagaan tempatan untuk berkembang.

“Matlamat kami bukan sekadar menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia, tetapi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh komuniti, perniagaan dan alam sekitar di Taiping,” katanya kepada media di sini hari ini.

Peserta bakal menempuh laluan mencabar yang merentasi kawasan ikonik seperti Bukit Larut, Hutan Simpan Dara dan beberapa lokasi bersejarah di sekitar bandar Taiping.

 

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu MY100 sejauh 97.47 kilometer (km), MY50 (54.02 km), MY25, MY13 serta MYKids yang dikhaskan bagi menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sukan larian denai.

Bagi kategori MY100, peserta turut berpeluang menyahut cabaran Vertical King dan Vertical Queen sejauh 7.96km yang melibatkan pendakian kira-kira 1,200 meter bermula dari Jambatan Logam di Kuil Murugan hingga ke AS1 Angkasa.

Dalam pada itu, aspek kelestarian alam sekitar terus diberi perhatian menerusi program RIMBA UTMB yang dilaksanakan sejak 2022.

Sehingga kini, lebih 5,500 pokok telah ditanam semula di sekitar Bukit Larut dan Taman Tasik Taiping sebagai sebahagian usaha pemuliharaan alam sekitar.

Bagi edisi tahun ini, aktiviti penanaman pokok akan diadakan pada 10 September di Padang Merbok, selain pelaksanaan beberapa inisiatif hijau termasuk pengurangan penggunaan plastik sekali guna dan pengasingan sisa sepanjang acara berlangsung.

Perlumbaan utama dijadualkan bermula seawal jam 3 pagi pada 12 September di Jalan Kota yang menjadi lokasi permulaan dan penamat bagi semua kategori yang dipertandingkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button