Kak Tutu” wanita pertama lengkap larian 444km, diiktiraf MBOR
PUTRAJAYA – Kejayaan luar biasa Noor Ainun Yeop Kamaruddin mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang menamatkan lariannya sejauh 444 kilometer merentasi Semenanjung, telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Noor Ainun atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Tutu telah berjaya menamatkan cabaran larian dari Lumut, Perak ke Bachok, Kelantan dalam tempoh 118 jam 18 minit 14 saat, menjadikannya peserta wanita pertama menamatkan edisi perlumbaan Nozomi Coast to Coast sejak ia diperkenalkan pada 2017.
Pengiktirafan itu diberikan menerusi kategori “First to Complete Nozomi Coast to Coast Run (Female) Distance 444KM)” dalam satu majlis rasmi yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, di sini hari ini.
Adam berkata, pencapaian itu bukan sahaja satu sejarah, malah mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan wanita dan pencinta gaya hidup sihat.
“Kisah Kak Tutu ini adalah satu kejayaan yang boleh kita kongsi.
“Ia boleh menjadi inspirasi, bukan sahaja kepada atlet profesional, tetapi kepada masyarakat biasa yang sedang mencari semangat untuk memulakan gaya hidup sihat,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBOR atas usaha berterusan mengiktiraf kejayaan rakyat Malaysia dalam bidang sukan, sama ada secara profesional atau amatur.
Mengulas mengenai potensi penyertaan antarabangsa selepas ini, Adam berkata, pihak kementerian akan berusaha untuk menyediakan bentuk sokongan sewajarnya.
“Kita sentiasa terbuka dan akan pertimbangkan bantuan sewajarnya berdasarkan kemampuan dan keperluan.
“Sebelum ini, kita pernah bantu atlet seperti saudara Khairal Aslan dalam misi berbasikalnya ke luar negara. Insya-Allah, kita akan beri perhatian dalam kes Kak Tutu juga,” katanya lagi.

Kementerian Belia dan Sukan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Noor Ainun atas dedikasi dan ketekunan yang ditunjukkan dalam bidang ultra running, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan rakyat yang berdaya tahan dan bermotivasi tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








