RM20 juta bina litar drag tidak mencukupi – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – RM20 juta untuk membangunkan litar drag di setiap negeri seperti yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tidak mencukupi, jelas Hannah Yeoh.
Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, perkara tersebut adalah memandangkan kos penyelenggaraan menelan belanja yang besar selain keperluan menitikberatkan aspek keselamatan.
Katanya, peruntukan yang dibentangkan kerajaan terdahulu pada Belanjawan 2023 juga tidak pernah dibahaskan serta mendapat kelulusan di Parlimen malah tiada input daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai projek berkenaan.
“Bukan sahaja duit, untuk membina litar drag ini melibatkan tanah yang besar dan kena dapatkan persetujuan kerajaan negeri. Dalam keadaan politik semasa yang mana kita ada kerajaan negeri berbeza-beza, bagaimana pengumuman itu boleh dibuat dan ada jangkaan untuk ‘rollout’…tak mungkin,” katanya.
Hannah berkata, demikian kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini semalam.
Tambah Hannah, aspek keselamatan dalam sukan permotoran juga sangat penting dan KBS menitikberatkan soal ini selain daripada keperluan penyelenggaraan litar.
Walaubagaimanapun, Hannah berkata, KBS akan memastikan sukan permotoran diberi perhatian dan pada tahun ini, terdapat peruntukan untuk program permotoran yang akan diselaraskan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara, dan Litar Antarabangsa Sepang juga menerima peruntukan bagi membuat program dan penambahbaikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








