Bekas PM, Ismail Sabri akan didakwa di mahkamah esok berkait kes SPRM
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik laporan Bernama, berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu dijadual dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.
Kes berkenaan dipercayai melibatkan isu pengisytiharan harta yang mana sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali oleh SPRM bagi memberi keterangan berhubung pengisytiharan harta yang dibuat beliau kepada suruhanjaya berkenaan.
Dalam perkembangan terdahulu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan tersebut dilakukan ketika penggeledahan di beberapa lokasi termasuk kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat”, susulan siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025 bagi membantu siasatan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram.
Sementara itu, peguam yang mewakili Ismail Sabri, Ragunath Kesavan, mengesahkan anak guamnya akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi pertuduhan.
Prosiding dijangka menjadi tumpuan berikutan ia melibatkan seorang bekas Perdana Menteri serta perkembangan terkini dalam siasatan SPRM terhadap kes berprofil tinggi itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








