BERITA SEMASAPMX

Anwar, Prak Sokhonn bincang perkukuh kerjasama strategik Malaysia-Kemboja

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, lawatan rasmi Prak Sokhonn ke Malaysia selama dua hari itu bersempena Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja yang dijadual berlangsung pada Selasa.

Menurut beliau, lawatan itu turut menjadi platform penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada 2027.

“Ia menjadi landasan penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada tahun 2027, sekali gus mencerminkan eratnya hubungan persahabatan serta perkongsian strategik yang berkekalan antara kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berkata, pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal, keselamatan makanan dan pembangunan modal insan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh usaha memperkukuh kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

Menurut beliau, sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia dan Kemboja berkongsi tanggungjawab untuk terus memelihara keamanan serantau, mengukuhkan perpaduan serta merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi kemakmuran bersama.

“Moga hubungan Malaysia-Kemboja terus diperkukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan rakyatnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button