INISIATIF KERAJAANPMX

Hampir 9 juta penerima SARA guna MyKad, transaksi capai RM3.45 bilion

KUALA LUMPUR – Hampir sembilan juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas di premis berdaftar dengan nilai transaksi mencecah RM3.45 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan kemudahan itu mencatatkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus, sekali gus menunjukkan keberkesanan pelaksanaan bantuan berkenaan dalam membantu rakyat mendepani kos sara hidup.

Beliau berkata, bagi inisiatif SARA Untuk Semua pula, sekitar 22 juta rakyat telah membuat perbelanjaan, iaitu 87 peratus daripada keseluruhan penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM1.77 bilion.

“Langkah ini turut membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa. Ia turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial.

“Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai petunjuk utama digunakan kerajaan bagi menilai keberkesanan program STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut beliau, peningkatan peruntukan untuk STR dan SARA dari tahun ke tahun membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

Katanya, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan bagi program STR dan SARA pada 2026 berbanding RM10 bilion pada 2024.

“SARA yang bermula pada tahun 2023 merupakan mekanisme yang digunakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

“Program ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan bantuan secara bersasar,” katanya.

Beliau berkata, antara petunjuk utama keberkesanan program STR dan SARA ialah berdasarkan prestasi perbelanjaan oleh penerima yang turut memberi kesan gandaan kepada ekonomi tempatan.

SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad dan boleh digunakan di kedai berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA.

Kemudahan itu membolehkan penerima membeli 15 kategori barangan keperluan asas termasuk makanan asas, barangan kebersihan diri, barangan kebersihan rumah serta ubat-ubatan.

Pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara lebih berkesan selain memastikan bantuan dimanfaatkan golongan sasaran bagi tujuan yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button