POLITIK

WARISAN nafi keluar daripada Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU – Parti Warisan (WARISAN) menafikan dakwaan kononnya parti itu telah memutuskan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan, sambil menyifatkan kenyataan yang tular di media sosial sebagai palsu.

Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua, berkata kenyataan media yang tersebar itu merupakan cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk memfitnah serta mencemarkan imej parti.

Beliau berkata, pihak terbabit bukan sahaja menyebarkan maklumat tidak benar, malah turut memalsukan dokumen rasmi WARISAN sehingga menyerupai kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh setiausaha agung parti.

“WARISAN menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial dan menganggap ini satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan serta memburukkan WARISAN.

“Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen WARISAN seolah-olah ia kenyataan rasmi setiausaha agung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu pautan kenyataan media yang mendakwa WARISAN mengambil keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan selepas mengadakan pertimbangan dan perbincangan di semua peringkat kepimpinan serta akar umbi parti.

Kenyataan palsu itu turut mendakwa WARISAN tidak lagi dapat meneruskan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan susulan perbezaan pendirian berhubung beberapa dasar, hala tuju pentadbiran serta pendekatan terhadap isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button