PODKHAS UKKM kupas usaha perkukuh ekosistem keusahawanan, koperasi Sabah
KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) memperkukuh agenda pendidikan keusahawanan dan koperasi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan generasi usahawan serta pemimpin koperasi berimpak tinggi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Perkara itu diketengahkan menerusi siri podcast khas (PODKHAS) UKKM bertajuk “Sabah Maju Jaya, Pendidikan Keusahawanan dan Koperasi Tunjang Utama”.
PODKHAS itu menampilkan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick dan Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi MOCCIS Berhad merangkap Profesor Industri UKKM, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh.
Sesi berkenaan turut membincangkan usaha memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah, MOCCIS dan UKKM.
Ewon, yang pernah menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), berkongsi visi penubuhan UKKM serta kesinambungan dasar peringkat Persekutuan yang kini diselaraskan di peringkat Negeri Sabah.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda keusahawanan dan koperasi di bawah kerangka Sabah Maju Jaya, bagi memastikan impak pemerkasaan ekonomi dapat sampai kepada masyarakat akar umbi dan kawasan luar bandar.
Sesi itu turut menyorot projek rintis penawaran akses pendidikan tinggi UKKM kepada anak-anak Sabah daripada golongan B40 menerusi Biasiswa Khas Negeri Sabah (BKNS).
Selain itu, strategi pemerkasaan usahawan muda, Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) serta peranan insentif kerajaan negeri dalam memperkukuh sinergi antara gerakan koperasi dan sektor industri turut dibincangkan.

Sementara itu, Ahmad Sobri mengulas perjalanan Program MOCCIS Era Baru dalam membina koperasi yang lebih kompetitif, profesional dan berdaya saing.
Beliau turut memaparkan kolaborasi strategik antara MOCCIS dan UKKM dalam mereka bentuk kurikulum berasaskan industri, sekali gus memanfaatkan kelebihan UKKM yang beroperasi dalam pasaran tumpuan (niche market) ekosistem koperasi tempatan.
Dalam program berkenaan, Ahmad Sobri selaku Pengerusi MOCCIS turut bersetuju menaja biasiswa penuh kepada anak-anak warga MOCCIS yang berminat melanjutkan pengajian di UKKM.
Kedua-dua ahli panel turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah, MOCCIS dan UKKM bagi merangka penyelesaian holistik terhadap cabaran keusahawanan.
Usaha itu disasarkan bagi melahirkan generasi pemimpin koperasi dan usahawan berimpak tinggi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Dalam perkembangan sama, Ewon turut beramah mesra dengan anak-anak Sabah di UKKM yang menerima tajaan menerusi BKNS.
PODKHAS berkenaan dihoskan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) merangkap Pengarah Urusan UKKM, Datuk Mohd Ali Mansor sebagai moderator dan disiarkan menerusi platform rasmi TikTok UKKM (@ukkmofficial), hari ini dari 10.30 pagi hingga 11.30 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








