‘Saya tidak sempurna, sedia tanggung akibat’ – Shuhaily
PUTRAJAYA – “Saya tidak sempurna dan hari ini saya berdiri di sini untuk berdepan dengan segala kekurangan diri,” kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular yang memaparkan dirinya menegur dua individu ketika operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Menurutnya, beliau bersedia menerima apa jua keputusan kerajaan berhubung insiden berkenaan selepas perkara itu dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi kerajaan dan kementerian berkaitan.
“Seperti tuan-tuan selalu lihat dalam klip video dalam media sosial, saya sering mengatakan bahawa saya tidak sempurna.
“Hari ini saya berdiri di hadapan anda semua, mengakui serta berdepan dengan segala kekurangan diri saya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shuhaily berkata, beliau juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
“Satu laporan polis turut dibuat oleh pihaknya susulan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud usaha mencemarkan imej AKPS serta reputasinya.
“Apa pun saya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lanjut dengan penuh efisien dan biarlah keadilan akan muncul kelak untuk semua pihak,” katanya lagi.
Shuhaily turut berkata, perubahan yang mahu dilakukan mempunyai harga yang perlu dibayar dan beliau bersedia menanggungnya sekiranya dirinya menjadi harga tersebut.
“Untuk mengubah sesuatu perkara, ia memerlukan harga dan sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, beliau akan menerima apa jua keputusan yang dibuat kerajaan berhubung perkara berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








