KP AKPS: Saya tak mahu KLIA jadi macam Selayang
PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Suhaily Mat Zain menegaskan beliau tidak mahu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berdepan keadaan yang boleh menjejaskan aspek keselamatan dan kawalan sempadan seperti yang berlaku di Selayang.
Beliau berkata, usaha memperkukuhkan keselamatan di pintu masuk negara menjadi antara motivasi utama AKPS, selain memastikan segala kelemahan yang ada ditangani secara berterusan.
“Saya tak mahu KLIA jadi macam Selayang. Saya tidak mahu membiarkannya hingga jadi macam Selayang.
“Itulah inisiatif dan motivasi kami di AKPS. Kerajaan menubuhkan kami ada sebab, bukan saja-saja hendak tubuh dan gabungkan enam agensi hanya sebagai ‘make up’,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Suhaily, beliau bersama barisan pegawai AKPS akan terus menjalankan tanggungjawab memperkukuhkan keselamatan di semua pintu masuk negara.
Beliau berkata, prestasi pasukan AKPS di ibu pejabat dan semua pintu masuk negara juga semakin menunjukkan perkembangan positif.
“Masih jauh perjalanan. Apa juga keputusan kerajaan selepas ini, saya terima dan saya harap pasukan saya tidak akan terjejas dengan apa juga keputusan yang diputuskan kerajaan ke atas diri saya selepas ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Suhaily berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung video tular yang mengaitkan dirinya di KLIA.
Beliau turut menjelaskan rakaman yang tular itu dipercayai bukan daripada sumber asal, sebaliknya dirakam semula menggunakan peranti lain sebelum disebarkan.
“Saya tidak mahu mencipta lebih banyak spekulasi. Biarlah pihak berkuasa menyiasat lebih lanjut,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau mendedahkan wujud sindiket yang dipercayai cuba menyeludup emas ke luar negara, yang menurutnya boleh menyebabkan ketirisan kepada negara.
“Phaknya bagaimanapun tidak akan mendedahkan kewarganegaraan individu yang terbabit kerana mahu mengekalkan pendekatan profesional serta menjaga hubungan dua hala dan pelbagai hala Malaysia.
“Walaupun dalam diri saya ingin beritahu daripada negara mana, saya akan kekal profesional dengan tidak menyebut siapa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








