Sistem autogate terganggu akibat isu integrasi data
PUTRAJAYA – Masalah teknikal yang menganggu sistem autogate di beberapa pintu masuk utama negara semalam dipercayai disebabkan gangguan integrasi data.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, masalah teknikal itu menyebabkan proses semakan silang sistem MyIMMS menjadi perlahan dan menggangu kelancaran operasi sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing.
Gangguan itu menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.
“Bagaimanapun, AKPS menegaskan bahawa sistem autogate bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa.
“AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang bekerjasama rapat untuk mengenal pasti punca sebenar masalah serta mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” kata kenyataan itu, hari ini.
AKPS turut memaklumkan bahawa beberapa langkah segera telah diambil bagi menangani isu berkenaan.
“Semua kaunter manual telah diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








