BERITA SEMASA

Cubaan warga China lolos ke Thailand gagal, ditahan tinggal lebih masa

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki warga China untuk meninggalkan Malaysia melalui sempadan Thailand gagal apabila dia ditahan selepas disyaki tinggal melebihi tempoh ditetapkan.

Lelaki berusia 39 tahun itu diberkas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada pukul 1 tengah hari semalam semasa pemeriksaan rutin dokumen dilakukan oleh pegawai imigresen di laluan keluar kompleks berkenaan.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan, semakan terhadap pasport suspek menunjukkan kemasukan terakhirnya ke Malaysia adalah pada 30 Mei lalu melalui Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.

“Pas Lawatan Sosial suspek didapati sudah tamat tempoh dan tiada sebarang rekod pergerakan keluar ke Thailand. Ini menunjukkan individu tersebut telah berada di negara ini melebihi tempoh dibenarkan selama 34 hari,” menurut kenyataan itu.

Susulan penahanan itu, lelaki terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, AKPS mengingatkan semua warga asing di Malaysia agar sentiasa memantau tempoh sah pas lawatan masing-masing dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak tindakan undang-undang.

“Langkah seperti memohon lanjutan pas atau keluar dari negara sebelum tempoh tamat adalah penting untuk memastikan pematuhan undang-undang imigresen.

“Penahanan itu mencerminkan komitmen AKPS dalam memastikan keselamatan sempadan dan pematuhan peraturan imigresen negara sentiasa terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button