Shuhaily mulakan tugas terajui AKPS
PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain hari ini memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), bagi tempoh dua tahun.
Beliau berkata, mandat yang diberikan kerajaan itu akan dipikul sebaiknya untuk memperkukuh kawalan sempadan negara melalui pelaksanaan agenda reformasi MADANI.
Katanya, sebagai permulaan, tumpuan utama beliau adalah untuk meneliti dan menyelesaikan hal-hal berkaitan struktur pengurusan dalaman AKPS.
“Saya baru sahaja bertemu dengan Ketua Setiausaha Kementerian yang telah memberikan saya beberapa mandat, antaranya untuk menyelesaikan beberapa perkara pentadbiran. Yang ini harus dilakukan secepat mungkin,” katanya pada hari pertama memulakan tugas
di Setia Perkasa 2, Kompleks Setia Perkasa Kementerian Dalam Negeri, di sini.
Shuhaily menyifatkan, tempoh dua tahun yang agak singkat akan dimanfaatkan sebaiknya untuk melakukan penambahbaikan agensi itu.
“Kontrak saya hanyalah dua tahun. Jika dipecahkan kepada suku tahun, saya hanya ada lapan suku sahaja untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada saya,” ujarnya.
Dalam memikul tugasnya, beliau menggunakan analogi ‘Alif Lam Mim’, sebagai simbolik kitaran tugas yang jelas berfasa.
“Hari ini saya memulakan ‘alif’ saya. Apa jua yang saya lalui dalam lapan suku itu adalah ‘lam’ saya. Dan ‘mim’ saya, saya tak tahu saya nak ke mana lepas itu,” jelasnya.
Dalam menjalankan tanggungjawab baharu itu, Shuhaily dibantu oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Mohd Jasmi Mohd Juwahir yang dijadual bersara tidak lama lagi, serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Ismail Mokhtar.
Menurut Shuhaily, tumpuan utama adalah untuk memastikan kehadiran AKPS dapat dilihat dan dirasai, bukan sahaja dari aspek fizikal malah impaknya kepada masyarakat.
“Tugas kami adalah untuk memastikan AKPS ini dapat dilihat secara fizikal dalam masa terdekat serta memberi impak kepada masyarakat seperti yang didambakan oleh kerajaan,” jelasnya.
Mohd Shuhaily, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Sains dalam Pengajian Strategik dari Nanyang Technological University, Singapura.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 26 tahun, termasuk pernah bertugas sebagai Pegawai Atase Polis di Kedutaan Malaysia di Washington D.C., Amerika Syarikat, dari tahun 2010 hingga 2013.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








