BERITA SEMASA

33 PATI diberkas dalam serbuan imigresen di 10 premis sekitar Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di 10 premis perniagaan sekitar bandar raya ini, semalam.

Serbuan bermula pada pukul 11 pagi itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang dipercayai bekerja tanpa dokumen sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Antara premis yang diperiksa termasuk kedai makan, pusat cucian kenderaan, kedai gunting rambut dan rumah kedai yang dijadikan tempat tinggal pekerja asing.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap majikan, pekerja serta individu yang berada di premis terlibat bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut beliau, semua warga asing yang ditahan berusia antara 20 hingga 51 tahun dan dipercayai bekerja serta tinggal di premis-premis berkenaan.

“Kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki Nepal, empat lelaki Indonesia, empat lelaki India, dua lelaki Bangladesh, 15 lelaki Myanmar, dua wanita Indonesia dan lima wanita Myanmar.

“Mereka dipercayai bekerja dan tinggal di premis-premis yang diserbu selain menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat berehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut sebelum tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang imigresen negara.

Dalam operasi sama, pihak imigresen turut mengeluarkan lapan Borang 29 iaitu saman kepada saksi bagi membantu siasatan terhadap pemilik premis dan pihak berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button