Pengasas MRSM meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Pengasas Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Abdul Wahab Alwi, 84, yang dikenali sebagai ‘Bapa MRSM’ dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Berita pemergian Abdul Wahab dikongsikan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) menerusi hantaran di Facebook hari ini.
ANSARA menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan seorang tokoh yang berjasa besar dalam mencipta peluang dan membina laluan pendidikan untuk generasi demi generasi anak Malaysia.
“Daripada gagasan yang beliau bantu lahirkan, MRSM telah melahirkan ribuan alumni yang kini berbakti dalam pelbagai bidang – kerajaan, keselamatan, perubatan, kejuruteraan, akademik, perniagaan, profesional serta masyarakat.
“Mungkin tidak semua daripada kita pernah bertemu atau mengenali Allahyarham, namun kita semua adalah antara mereka yang pernah melalui pintu peluang yang beliau bantu buka,” menurut hantaran itu.
Jenazah Allahyarham disolatkan pada pukul 11 pagi tadi di Masjid Raja Bendahara Tengku Bandar Shah, Denai Alam, Shah Alam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.
ANSARA turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada keluarga Allahyarham serta menerima segala jasa dan amal jariahnya kepada agama, bangsa dan negara.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Beliau menyifatkan Abdul Wahab, yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Latihan MARA, sebagai antara individu penting yang mencetuskan idea serta menjayakan penubuhan MRSM.
“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membuka jalan pendidikan serta membina masa depan anak bangsa akan terus terpahat dan dikenang. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








