Jenazah ibu Ziana dan Anuar Zain selamat dikebumi
SHAH ALAM – Jenazah ibu kepada penyanyi terkenal tanah air, Ziana dan Anuar Zain, Allahyarhamah Robiah Abdul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Allahyarhamah Robiah, 74, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati pada pukul 10.44 malam tadi, memetik laporan BH Online.
Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat keluarga khususnya dunia seni tanah air memandangkan dua daripada anaknya merupakan figura berpengaruh dalam industri hiburan negara.

Pemergian Allahyarhamah turut mengundang rasa pilu apabila ia berlaku kira-kira 100 hari selepas suaminya, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, 87, meninggal dunia akibat kanser prostat pada 26 Ogos lalu.
Seramai kira-kira 150 ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan terdekat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dalam suasana penuh hiba.
Suasana bertambah sayu apabila Anuar Zain tampil memberikan ucapan terakhir buat ibu tercinta sebelum jenazah dikebumikan.
“Selamat jalan emak, semoga berbahagia di sana,” katanya sebak selepas mengucup jenazah buat kali terakhir.
Allahyarham Robiah meninggalkan lima orang anak dan 13 cucu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








