BERITA SEMASA

Maryam Al Khawla akhirnya ‘pergi’ selepas 90 hari bertarung nyawa

MELAKA – Salah seorang bayi kembar tiga, Maryam Al Khawla yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal semalam, disahkan meninggal dunia awal pagi tadi selepas 90 hari bertarung nyawa di Hospital Melaka.

Pemergian bayi perempuan berusia genap tiga bulan itu disahkan sendiri oleh bapanya, Mejar Mohd Fikry Amri, 41, menerusi satu hantaran di Facebook.

“Dengan penuh dukacita dimaklumkan anak syurga saya, Maryam Al Khawla telah meninggal dunia pada pukul 7.20 pagi di Hospital Melaka pada 24 Januari 2026. Allah SWT lebih sayangkan dia,” tulisnya.

Semalam, media melaporkan Mohd Fikry dan isterinya, Sabrina Hakiem kembali diuji apabila salah seorang bayi kembar tiga mereka dilaporkan kritikal akibat jangkitan kuman.

Menurut Mohd Fikry, Maryam Al Khawla yang dilahirkan pra-matang pada 24 Oktober tahun lalu semakin lemah sekali gus memohon orang ramai mendoakan kesembuhan dan keselamatan buatnya.

Bayi kembar Maryam Al Khawla
Tangkap layar status Sabrina Hakiem mengenai keadaan bayi kembarnya, Maryam Al Khawla berada dalam keadaan kritikal semalam.

Sebelum ini, isteri Mohd Fikry, Sabrina menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada Februari tahun lalu menerusi kurniaan khas Sultanah Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sabrina yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di negeri ini, selamat melahirkan tiga bayi perempuan itu secara pembedahan di Hospital Melaka.

Bayi pertama seberat 1.8 kilogram (kg) dilahirkan pada pukul 9.40 pagi, diikuti bayi kedua seberat 1.78kg (9.42 pagi) dan bayi ketiga seberat 1.93kg (9.46 pagi).

Bayi kembar 3
Tuanku Azizah ketika melawat pasangan Mohd Fikry dan Sabrina bersama bayi kembar tiga mereka. – Foto Facebook Kesultanan Pahang

Terdahulu, kisah pasangan dari Alor Gajah itu pernah tular di media sosial menerusi tanda pagar #JusticeForAlFateh, selepas anak sulung mereka, Allahyarham Muhammad Al Fateh meninggal dunia di sebuah taska.

Pada September 2024, media melaporkan Muhammad Al Fateh yang ketika itu berusia lapan bulan meninggal dunia selepas dipercayai didera oleh pengasuh termasuk disumbat botol susu ke dalam mulut serta ditutup muka dengan bantal sehingga mengakibatkan kematian.

Allahyarham merupakan zuriat yang dinantikan selama 13 tahun oleh pasangan berkenaan.

Muhammad Al Fateh meninggal dunia pada 6 September 2024 akibat kecuaian pengasuh di taska.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button