Sengatan ubur-ubur: Kanak-kanak Russia meninggal dunia setelah empat hari bertarung nyawa
ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki warga Russia berusia dua tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini setelah empat hari bertarung nyawa akibat disengat ubur-ubur di Pantai Cenang, Langkawi
Mendiang, Vladimir Iakubanets disahkan meninggal dunia pukul 9.46 pagi tadi akibat komplikasi daripada sengatan tersebut.
Bapa mendiang, Nikita Lakubanets, 32, dari Khabarovsk berkata, kejadian berlaku 16 Nov lalu kira-kira pukul 7.30 pagi sewaktu dia dan isteri membawa anak mereka berjalan-jalan di pantai berdekatan Dataran Pantai Chenang.
“Ketika anak mandi di pantai, tiba-tiba dia menjerit dan menangis. Isteri terus mendapatkan anak kami dan mendapati ubur-ubur besar menyengat kedua-dua belah kakinya. Isteri saya juga terkena sengatan ketika menanggalkan cengkaman ubur-ubur itu dari kaki anak saya.
“Saya berusaha memberikan CPR (bantuan pernafasan) kepada anak saya sebelum menghantarnya ke klinik dan kemudian kami dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel, di sini hari ini.
Nikita berkata, pasukan perubatan di hospital di Langkawi dan Alor Setar telah melakukan segala yang mereka mampu, dan beliau berterima kasih atas usaha mereka.
Tambahnya, mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya berharap kematian Vladimir akan dapat menjadi peringatan mengenai risiko spesis marin tersebut.
Sementara itu, isteri Nikita, Olga, 32, berkata, mereka mahu pemergian anak mereka membawa makna, kerana membantu orang lain adalah sesuatu yang sentiasa ditunjukkan anak mereka, walaupun pada usia yang sangat muda.
“Anak kami adalah wira kami. Dia ‘malaikat kecil’ kami. Setiap hari kami memberitahunya bahawa kami menyayanginya, dan dia sentiasa membalas bahawa dia juga menyayangi kami,” katanya sambil menambah bahawa ini adalah kunjungan pertama keluarga mereka ke Malaysia selepas tiba pada 14 Nov.
Pasangan itu merancang untuk melakukan pembakaran jasad Vladimir dan membawa abunya pulang ke Russia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








