BERITA SEMASA

Presiden PAS tiada kuasa veto tentukan kedudukan BERSATU dalam PN – Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan kedudukannya sebagai parti anggota Perikatan Nasional (PN) masih sah di sisi Perlembagaan gabungan itu dan mendakwa kenyataan Presiden PAS bahawa keanggotaannya telah tergugur adalah bercanggah dengan peruntukan sedia ada.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti anggota tergugur secara automatik.

Menurut beliau, kedudukan BERSATU sebagai parti anggota PN hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden mengikut Fasal 7A Perlembagaan PN.

“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan BERSATU dalam PN. Justeru, BERSATU masih merupakan parti anggota PN yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin turut mendakwa Presiden PAS tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan BERSATU dalam gabungan itu, sambil menyifatkan kenyataan yang dibuat sebagai tidak selaras dengan Perlembagaan PN.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN yang didakwa menghalang wakil BERSATU menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, yang membuat keputusan berkaitan pengagihan kerusi serta kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Azmin, tindakan itu didakwa bercanggah dengan Perlembagaan PN kerana setiap parti anggota mempunyai hak untuk menghadiri, memberi pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri serta Badan Perhubungan Kawasan.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan BERSATU akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung dakwaan pelanggaran Perlembagaan PN.

Dalam kenyataan sama, Azmin turut mendakwa PN yang kini dikuasai PAS tidak lagi menjunjung Perlembagaan gabungan, selain bertindak secara tidak demokratik.

Beliau menegaskan BERSATU akan terus mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan prinsip keadilan serta memastikan masa depan negara yang bermaruah dan makmur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button