Kes bunuh Irene Sofiya: Polis rampas batang besi, dendam cinta dipercayai motif
JOHOR BAHRU – Perasaan dendam, termasuk akibat cinta ditolak, dipercayai antara motif pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bagaimanapun, motif berkenaan masih diteliti menerusi siasatan yang sedang dijalankan.
Menurutnya, suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan merupakan rakan sekelas mangsa, manakala setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat dalam kejadian itu.
Polis turut merampas sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Ab Rahaman berkata, batang besi berkenaan ditemukan dalam siri operasi dan pencarian barang kes di sekitar Yong Peng antara 4 hingga 8 Oktober lalu.
Katanya, batang besi itu mempunyai tali leher berwarna biru yang dililit pada bahagian hujung, dipercayai dijadikan pemegang ketika digunakan untuk memukul mangsa.
“Berdasarkan laporan bedah siasat, kita percaya pukulan mengenai bahagian kepala, namun terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, polis turut percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek berdasarkan keadaan tempat kejadian yang menemukan meja dan kerusi terbalik serta sebuah pasu pecah.
Keadaan itu juga menunjukkan mangsa dipercayai cuba mempertahankan diri ketika kejadian.
Bagaimanapun, polis setakat ini tidak mengesyaki pasu berkenaan digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut.
Selain batang besi, beberapa barangan lain turut dirampas bagi membantu siasatan, termasuk telefon bimbit iPhone 13 Pro, pakaian sukan, selipar, beg, peralatan tulis serta barangan peribadi mangsa.
Polis turut merampas pakaian sukan berwarna putih dan merah bernombor 27 yang mempunyai kesan dipercayai darah, selain beberapa dokumen persekolahan dan sebuah kalkulator.
Semua barang kes berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Mengulas kemungkinan berlaku cubaan merogol mangsa, Ab Rahaman berkata, siasatan setakat ini tidak menemukan petunjuk ke arah kejadian berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah setakat ini.
Katanya, perkara berkaitan keadaan mental suspek akan diserahkan kepada mahkamah sekiranya remaja itu didakwa dan perlu menjalani pemeriksaan psikiatri.
Siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kini hampir lengkap dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini untuk arahan lanjut.
Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira jam 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Suspek sebelum ini direman selama enam hari bermula 4 Oktober bagi membantu siasatan dan tempoh remannya disambung enam hari lagi bermula esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








