MINDEF perkukuh kesiapsiagaan pertahanan siber ATM hadapi serangan AI
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh keupayaan pertahanan siber dan elektromagnetik bagi menghadapi ancaman keselamatan moden, termasuk serangan menggunakan Kecerdasan Buatan Otonom (Agentic Artificial Intelligence).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu merangkumi pembangunan organisasi, penguasaan teknologi, peningkatan kepakaran anggota serta kerjasama strategik bagi memastikan ATM bersedia menghadapi ancaman berkenaan.
“Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (PSEP), komited memperkukuh keupayaan pertahanan siber dan elektromagnetik bagi menghadapi ancaman keselamatan moden, termasuklah serangan yang menggunakan Kecerdasan Buatan Otonom (Agentic Artificial Intelligence),” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN- Tanah Merah) mengenai langkah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM menangani ancaman peperangan siber dan elektromagnetik moden, terutama ancaman memanfaat Kecerdasan Buatan Otonom oleh entiti asing terhadap sistem komunikasi pertahanan negara.
Baca juga : LCS 1 dijangka diserah kepada Kementerian Pertahanan pada April 2027
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pemantauan ancaman dilaksanakan secara aktif dan berterusan menerusi Cyber Defence Operation Centre (CDOC) di bawah PSEP serta Cyber Threat Intelligence Centre (CTIC) di bawah Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO).
Usaha itu katanya, bertujuan meningkatkan keupayaan ATM mengesan ancaman lebih awal, melindungi sistem dan infrastruktur kritikal serta memastikan kelangsungan operasi pasukan berkenaan.
“PSEP ditubuhkan selepas mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera pada 8 Oktober 2025, sebagai langkah memperkukuh pertahanan siber dan elektromagnetik ATM selaras dengan dapatan serta hala tuju Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan,” katanya.
Khaled berkata, ATM turut memperkukuh kesiapsiagaan dan pembangunan kepakaran menerusi latihan, peningkatan kompetensi serta pengiktirafan pakar bidang (Subject Matter Expert – SME) dalam bidang siber, elektromagnetik, komunikasi dan kecerdasan buatan.
“Pada 19 September 2026, Tim Nukleus Angkatan Siber dilancarkan sebagai langkah berstruktur ke arah penubuhan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat ATM, yang disasarkan beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.
“Tim berkenaan bertanggungjawab menyelaras perancangan dan pembangunan Angkatan Siber, termasuk struktur organisasi, doktrin operasi, keperluan perjawatan serta pembangunan keupayaan.
“Usaha itu turut merangkumi penyepaduan keupayaan ATM dalam Cyber and Electromagnetic Activities (CEMA), Command, Control, Communications and Computers (C4), perisikan (Intelligence) dan angkasa (Space) bagi memastikan penyelarasan maklumat serta tindak balas yang lebih bersepadu terhadap ancaman moden,” katanya.
Dalam pada itu, Khaled berkata, kerjasama strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia, industri, institusi pengajian tinggi dan rakan strategik pertahanan turut diperkukuh, khususnya dalam perkongsian maklumat ancaman, kepakaran dan latihan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







