Selat Melaka kekal stabil, tidak terkesan konflik global – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR – Keselamatan dan kestabilan di Selat Melaka kekal terjamin meskipun dunia ketika ini berdepan ketidaktentuan geopolitik, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, Malaysia bersama Indonesia dan Singapura terus komited mempertahankan prinsip kebebasan pelayaran serta kelancaran aliran perdagangan antarabangsa di laluan strategik berkenaan.
Menurutnya, keadaan di Selat Melaka tidak wajar disamakan dengan konflik di rantau lain termasuk Asia Barat, memandangkan ketiga-tiga negara pesisir itu kekal berpegang kepada undang-undang antarabangsa serta kerjasama serantau yang kukuh.
“Kita tidak berdepan situasi seperti negara-negara yang terlibat dalam konflik. Malaysia, Indonesia dan Singapura kekal komited kepada prinsip perdagangan bebas dan navigasi terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir pameran Defence Services Asia & NATSEC Asia 2026 (DSA & NATSEC Asia 2026) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta pegawai kanan kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengakui ketegangan global termasuk konflik antara Amerika Syarikat dan Iran turut memberi kesan kepada rantaian perdagangan serta logistik antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia kekal dengan pendekatan berkecuali dan tidak menjadikan isu tersebut sebagai agenda utama dalam platform rasmi seperti DSA & NATSEC Asia 2026, sebaliknya terus menyokong usaha penyelesaian secara aman.
“Apa yang kita mahu ialah semua pihak, khususnya kuasa besar terlibat, dapat mencapai penyelesaian secara damai demi kestabilan global,” katanya.
Mengulas penyertaan antarabangsa dalam pameran itu, beliau berkata terdapat negara yang tidak dapat mengambil bahagian pada tahun ini berikutan cabaran logistik dan perdagangan, bukan disebabkan faktor politik.
Tambah beliau, DSA kekal sebagai platform neutral yang menghimpunkan negara dan syarikat pertahanan bagi mempamerkan keupayaan teknologi masing-masing, selain membuka ruang kerjasama serta penilaian perolehan aset pertahanan.
“Pada akhirnya, ia memberi peluang kepada Malaysia untuk menilai dan membuat keputusan terbaik dalam aspek perolehan pertahanan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








