SePENA 2026: Puisi angkat martabat bahasa Melayu di pentas antarabangsa
NILAI – Alunan puisi yang tersusun indah berpotensi sebagai medium diplomasi budaya berkesan untuk mempromosikan jati diri bangsa ke peringkat global.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari berkata, dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi dan globalisasi, bahasa Melayu perlu terus dimartabatkan bukan sahaja melalui penulisan akademik dan penerbitan, tetapi juga menerusi seni persembahan dan pengucapan kreatif seperti deklamasi puisi.
“Puisi bukan sekadar susunan kata yang indah, tetapi ia ialah wahana pemikiran, suara jiwa dan cerminan tamadun sesuatu bangsa yang menjadi medium untuk menyampaikan falsafah hidup serta nilai kemanusiaan,” kata beliau.
Hazami berkata demikian ketika berucap merasmikan Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2026 di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini 22 Mei lalu.
Beliau turut menegaskan, keupayaan bahasa Melayu menarik penyertaan antarabangsa membuktikan daya tarikan serta nilai budayanya masih kukuh, sekali gus menepis pengaruh dominasi teknologi dan globalisasi.
“Penglibatan mahasiswa antarabangsa dalam SePENA 2026 yang berlangsung di USIM membuktikan bahawa karya sastera mampu merentas sempadan geografi,” katanya.
Sayembara yang mengangkat tema Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) itu merupakan hasil kerjasama strategik antara DBP bersama Kelab Penerbitan Kreatif dan Pusat Kebudayaan USIM, merupakan inisiatif USIM dalam mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Selain mencungkil bakat baharu dalam kalangan mahasiswa, program berprestij tersebut turut menarik penyertaan daripada kategori penjawat awam, sekali gus membuktikan puisi masih mempunyai tempat yang istimewa dalam menyatukan pelbagai lapisan komuniti.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Dr Mushaddad Hasbullah dan Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul johan Kategori Tempatan dalam Sayembara Puisi Pentas Dunia SePENA 2026, sekali gus menewaskan beberapa institusi pengajian tinggi lain yang turut bersaing dalam pertandingan berprestij tersebut.
Pasukan UPSI yang diwakili Ammar Wazif Mahmud dan Nik Fateeha Syuhada Imran berjaya memukau panel juri menerusi persembahan puisi yang mantap dan penuh penghayatan.
Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim dan Amuddin Saifudin Zulqurnain, manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diwakili Nik Faruqi Naim Mohafauzi dan Naurah Mursyidah Naili meraih tempat ketiga.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula menerima anugerah saguhati.
Dalam kategori anugerah khas, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membawa pulang Anugerah Busana Terbaik menerusi Dayang Sitizulaiqa Awang Zaidi dan Mohamad Shair Mihat.
Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Anugerah Sembah Kreatif hasil persembahan Noor Asma Nabiha Noor Azman dan Intan Syafiqah Muhammad Rozali.
Bagi Kategori Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah sekali lagi mencipta kejayaan apabila wakilnya, Chelsea Milagrosa Cildapires Guterres, dinobatkan sebagai johan.
Naib johan pula disandang oleh Hanifah Amalia Zahra dari Universiti Sains Islam Malaysia, manakala tempat ketiga menjadi milik Aisyah Hanin Nursiwi dari Universiti Teknologi MARA.
Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi Anugerah Busana Terbaik, sementara Anugerah Sembah Kreatif dirangkul oleh wakil USIM, Omar Abdulsamad Mohammed Muthanna.
Dalam Kategori Penjawat Awam, Asnizan Muksin dari Pejabat Daerah dan Tanah Rembau dinobatkan sebagai johan, diikuti Muhamad Shah Amirul bin Moktar dari agensi yang sama sebagai naib johan.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Ainnatun Nadrah Mansor dari Pusat Penerbitan USIM, yang turut menerima Anugerah Sembah Kreatif.
Anugerah Busana Terbaik dan saguhati menjadi milik Nur Zahidah Zulkefli dari Jabatan Undang-Undang USIM.
Pengarah SePENA, Muhammad Zamratur Rahman Yussri turut menegaskan bahawa, sayembara Puisi Pentas Dunia SePENA 2026 bukan sahaja mencungkil bakat deklamasi mahasiswa dan penjawat awam, malah memartabatkan kesusasteraan Melayu di peringkat global.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

