Perolehan aset ATM tidak lagi dibekukan – Khaled Nordin
KLUANG – Dana perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lagi dibekukan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengesahkan perkara itu berkata, pembekuan itu dtarik balik susulan langkah penstrukturan yang dilaksanakan bagi memastikan tiada isu ketirisan atau kebocoran dana berlaku.
Sehubungan itu, katanya, segala urusan perolehan aset kententeraan kini kembali berjalan seperti biasa mengikut perancangan.
“Tidak ada lagi pembekuan, kerana kita telah lakukan penstrukturan-penstrukuran yang boleh memastikan, tiada ketirisan, kebocoran dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Ekonomi MADANI ATM di Kem Batu 3, di sini hari ini.
Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Pembekuan tersebut susulan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah serta salah guna kuasa, membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai sama ada MINDEF melaksanakan penilaian terhadap sebarang perolehan susulan krisis bekalan global, Mohamed Khaled berkata perkara itu merupakan antara aspek yang diambil perhatian kementeriannya.
Mohamed Khaled berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga telah meminta MINDEF, memberikan cadangan berhubung bagaimana aspek pertahanan di negara ini dapat disesuaikan dengan krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kementeriannya melihat bahawa keupayaan dalam membangunkan industri pertahanan tempatan, sebagai antara perkara yang perlu dipertingkat dengan mengambil pendekatan asymmetrical warfare.
“(Sebagai contoh), kita wajar mengamalkan pendekatan asymmetrical warfare iaitu satu keadaan antara dua negara dengan kekuatan ketenteraannya tidak sama, sangat besar jurang, jadi biasanya negara berhadapan dengan itu, akan ambil pendekatan ini.
“Pendekatan ini dengan sesebuah negara keluarkan produk tempatan secara banyak dan murah dan mempunyai keupayaan untuk menghubungkan sistem teknologi maklumat (IT) dan elektronik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








