BERITA SEMASA

Isu RCI TH: Jamil Khir didakwa esok

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Berdasarkan sistem mahkamah, prosiding pendakwaan terhadap Jamil Khir, 65, akan dijalankan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bekas menteri dijangka didakwa selepas SPRM mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan pertuduhan terhadap tokoh politik berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebelum ini berkata, bekas menteri itu bakal berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, pertuduhan berkenaan berkaitan siasatan terhadap laporan RCI TH.

“Pihak kami mendapat izin bagi mengemukakan pertuduhan terhadap bekas menteri berkenaan. SPRM mengesyorkan sebanyak tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM.

Sebelum ini, SPRM menahan reman bekas menteri berkenaan selama tujuh hari bagi membantu siasatan RCI TH.

Beliau ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sebelum dibebaskan selepas tempoh reman berkenaan tamat.

Laporan RCI TH yang didedahkan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button