Pendakwah bebas direman, disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta
SEREMBAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan reman seorang pendakwah bebas yang disyaki menyalahgunakan kuasa serta menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman selama lima hari itu dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.
Siasatan awal mendapati suspek yang juga pengerusi NGO berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September 2022 hingga kini dengan menyalahgunakan kedudukannya.
“Suspek disyaki bersubahat dengan dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun peribadinya serta lapan akaun syarikat miliknya,” katanya.
Susulan siasatan, SPRM turut membekukan 15 akaun bank melibatkan tiga akaun persendirian, tiga akaun NGO dan sembilan akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM16.5 juta.
Selain itu, pelbagai barangan turut disita termasuk wang tunai RM6,576, mata wang asing Riyal 95,568 dan dolar Singapura SGD795, selain barangan kemas serta aksesori seperti jam tangan, beg tangan, gelang, cincin, rantai dan 51 keping emas seberat satu gram dengan nilai keseluruhan puluhan ribu ringgit.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















