Kerajaan dedah penuh laporan RCI Tabung Haji, tiada yang disembunyikan – Anwar
SEREMBAN – Kerajaan mendedahkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) secara telus tanpa menyembunyikan mana-mana bahagian laporan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu diterbitkan sepenuhnya bersama semua syor yang dikemukakan serta proses yang telah berlaku, selain skop penelitian turut diperluaskan melangkaui tempoh asal bagi melihat perkembangan selepas tahun 2020.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi membolehkan rakyat memahami secara menyeluruh perkara yang berlaku termasuk tindakan yang diambil oleh jawatankuasa berkaitan dan pengurusan TH selepas tempoh berkenaan.
“Kita mahu mengetahui dengan tepat apa yang berlaku selepas tempoh tersebut, termasuk tindakan yang telah diambil oleh pelbagai jawatankuasa serta Lembaga Tabung Haji ketika ini.
“Kita telah ambil keputusan untuk sebarkan keseluruhannya. Tidak ada Perdana Menteri atau JPM (Jabatan Perdana Menteri) yang memotong mana-mana aspek laporan itu,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini, hari ini.
Anwar berkata, laporan RCI berkenaan turut merangkumi perkembangan sejak 2014 apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mula mengeluarkan amaran awal berkaitan kedudukan TH.
Katanya, satu lagi amaran turut dikeluarkan pada 2017, sebelum siasatan meliputi tempoh tersebut dan diperluaskan bagi meneliti perkembangan selepas itu.
“Kemudian terdapat satu lagi amaran pada 2017. Siasatan itu meliputi tempoh berkenaan, tetapi kita juga telah meminta supaya penelitian turut merangkumi perkembangan selepas itu.
“Saya fikir adalah lebih baik umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia diberi peluang untuk melihat gambaran keseluruhan. Perkara paling penting adalah ia menjadi pengajaran,” ujarnya.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab dalam isu berkenaan perlu melalui proses siasatan dan pendakwaan mengikut lunas undang-undang.
“Tapi sementara itu, yang bertanggungjawab mesti disiasat dan didakwa jika perlu dan ikut proses pendakwaan,” katanya.
Krisis kewangan TH yang berpunca daripada isu ketidakpadanan aset dan liabiliti sebelum ini membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















