PENDAPATRENCANA

Melangkaui Sidang Kemuncak: Malaysia angkat martabat ASEAN di pentas dunia

Oleh DATUK PROF DR MOHD FAIZ ABDULLAH 

SIDANG Kemuncak ASEAN yang baru melabuhkan tirainya bukan sekadar pesta diplomasi, tetapi bukti kemampuan Malaysia memimpin rantau ini dengan cemerlang pada saat dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

Walaupun sarat dengan majlis rasmi dan protokol tinggi, sidang kali ini membuktikan ASEAN masih berupaya mencapai kesepakatan dalam isu-isu besar.

Perdana Menteri (kiri) bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand-Cambodia di Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober. – Foto FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri

Di sebalik gemerlapan acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), berlangsung satu tarian diplomasi moden yang halus, hasil hampir dua tahun penyelarasan dan rundingan tekun pegawai Malaysia.

Kejayaan utama Kepengerusian Malaysia terserlah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand – satu langkah penting memulihkan kestabilan serantau.

Walaupun tidak menyelesaikan semua pertikaian, perjanjian itu membuktikan diplomasi Malaysia berupaya menjinakkan ketegangan lama di Asia Tenggara.

Diplomasi Berwawasan Jauh

Kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai tetamu khas Sidang Kemuncak tahun ini menyerlahkan dasar luar Malaysia yang berpandangan jauh.

Pendekatan antara wilayah (inter-regionalism) ini memperluas jaringan kerjasama ASEAN di luar lingkaran Asia, selaras dengan aspirasi menjadikan ASEAN pemain global yang seimbang dalam hubungan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.

Malaysia turut berjaya menghidupkan semula Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang kini genap 20 tahun sejak dilahirkan di Kuala Lumpur. Selepas tiga tahun tanpa kenyataan bersama, semua negara akhirnya bersetuju dengan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan.

Perdana Menteri bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva yang hadir sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Ia menandakan pemulihan semangat kerjasama tulen yang sebelum ini sering diganggu perebutan pengaruh antara kuasa besar.

Namun, kejayaan ini hanyalah permulaan. ASEAN perlu menilai semula mekanisme sedia ada agar forum seperti EAS benar-benar berfungsi sebagai wadah membina, bukan sekadar simbol diplomasi.

Pemangkin Ekonomi dan Teknologi

Dari segi ekonomi, Malaysia menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh hubungan perdagangan serantau.

Naik taraf ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA) menjadi langkah penting memodenkan peraturan kastam dan menyelesaikan pertikaian dagangan agar aliran barangan lebih pantas dan murah merentasi sempadan.

Selain itu, ASEAN turut memperbaharui ASEAN–China Free Trade Area (ACFTA 3.0) dengan memberi tumpuan kepada sektor digital dan hijau, di samping mengekalkan akses pasaran dengan China walaupun tekanan tarif Amerika Syarikat meningkat.

Rundingan mengenai ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) juga mencapai “penyelesaian substantif”, membuka laluan kepada kerjasama dalam aliran data, e-dagang dan pembayaran digital menjelang pemeteraian rasmi pada 2026.

Perdana Menteri menyaksikan pembaharuan Perjanjian ASEAN-China Free Trade Area (ACFTA) 3.0 pada sidang kemuncak tersebut.

Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah pertama Sidang Kemuncak Pemimpin Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) sejak perjanjian itu dikuatkuasakan pada 2022 bagi memperkukuh pelaksanaan sepenuhnya menjelang semakan semula 2027.

Namun, cabaran kekal. Perdagangan intra-ASEAN masih sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan serantau, manakala non-tariff barriers (NTB) masih mengekang pertumbuhan. Justeru, ASEAN perlu lebih tegas menangani halangan lama dan memastikan manfaat sebenar sampai kepada rakyat.

Langkah baharu seperti ATIGA yang ditambah baik, DEFA serta ASEAN Framework for an Integrated Semiconductor Supply Chain (AFISS) diyakini mampu memperdalam integrasi digital, memperkukuh rantaian bekalan dan menarik pelaburan rentas sempadan – sekiranya dilaksanakan dengan tuntas.

Dalam bidang teknologi, ASEAN turut menegaskan komitmen terhadap keterangkuman digital serta usaha merapatkan jurang transformasi antara negara anggota. Ketika dunia berlumba-lumba membangunkan kecerdasan buatan (AI), ASEAN perlu bersedia lebih awal agar tidak ketinggalan dalam gelombang inovasi baharu ini.

Kepimpinan Malaysia Disanjung

Kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11 menjadi simbol perpaduan penuh ASEAN. Malaysia berjaya memastikan penyertaan itu berjalan lancar dengan sokongan peraturan dan infrastruktur jangka panjang. Baton kepimpinan kini diserahkan kepada Filipina untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan rantau ini pada tahun hadapan.

Penutupan Sidang Kemuncak ke-47 menandakan kejayaan kolektif Malaysia dalam membina semula keyakinan terhadap kekuatan senyap diplomasi rantau ini. Hasil yang dicapai bukan sekadar simbolik, tetapi nyata dan strategik – dari damai serantau hingga ke kerjasama ekonomi dan teknologi.

anwar
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia menonjol sebagai pengantara yang berhemah dan pembina jambatan yang disegani.

Kejayaan ini juga mencerminkan kebangkitan dasar luar Malaysia sejak 2023, digerakkan oleh pendekatan aktif dan berprinsip Perdana Menteri. Beliau menggabungkan ketegasan dengan kepraktisan, memastikan suara Malaysia didengar dengan jelas di pentas antarabangsa.

Di bawah kepimpinannya, Malaysia menonjol sebagai pengantara yang berhemah dan pembina jambatan yang disegani – bukti bahawa negara bersaiz sederhana masih mampu memainkan peranan besar melalui kejelasan matlamat dan konsistensi moral.

Kini, cabaran utama ialah mengekalkan momentum selepas berakhirnya kemeriahan sidang kemuncak. Malaysia dan ASEAN perlu memastikan semangat kerjasama itu diterjemah kepada tindakan, institusi dan perkongsian yang berkekalan.

Jika semangat ini terus hidup, kepengerusian Malaysia akan dikenang bukan kerana gemerlapan acara, tetapi kerana hikmah, kehematan dan keberanian untuk menegakkan tujuan bersama demi keamanan serta kemakmuran rantau.

* Penulis merupakan Pengerusi, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah
Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button