BERITA SEMASADALAM NEGERI

Malaysia catat lonjakan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025

PETALING JAYA – Malaysia catat peningkatan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 dengan lonjakan 19 tangga ke kedudukan ke-88 daripada 180 negara oleh Reporters Without Borders (RSF).

Menurut laporan badan itu, Malaysia catatkan skor 56.09 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025, meningkat daripada 52.07 pada tahun sebelumnya yang menyaksikan negara jatuh 34 tangga pada kedudukan ke-107.

Dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia kini berada di tempat kedua di belakang Thailand yang menduduki tangga ke-85.

Malaysia mengatasi Brunei (97), Filipina (116), Singapura (123), Indonesia (127), Laos (150), Kemboja (161), Myanmar (169), dan Vietnam (173).

“Laporan tersebut menegaskan bahawa Malaysia menunjukkan prestasi lemah dalam aspek perundangan dan politik, masing-masing berada di kedudukan ke-133 dan ke-92.

“Pihak berkuasa mensasarkan wartawan penyiasatan dan institusi diraja kekal sebagai subjek yang sangat sensitif, begitu juga dengan isu kaum dan agama,” menurut laporan RSF.

Bagaimanapun, kedudukan semasa masih belum mencapai tahap yang direkodkan pada 2023, iaitu di tangga ke-73.

Menurut RSF, sebarang bentuk laporan atau ulasan yang dianggap kritikal terhadap institusi diraja boleh membawa kepada tindakan undang-undang, menyebabkan berlakunya penapisan kendiri secara meluas dalam kalangan pengamal media.

Menurutnya lagi, laporan itu menyentuh isu pemilikan media dan kawalan pelesenan yang ketat, menjejaskan kebebasan editorial dan pluralisme media.

“Beberapa tokoh korporat media menguasai industri, sekali gus mengancam kebebasan dan kepelbagaian maklumat dalam sektor ini,” katanya.

Peningkatan mata itu juga disumbang oleh langkah pembaharuan kerajaan yang memperkenalkan Kod Etika Kewartawanan pada Februari lalu sebagai respons terhadap cabaran yang dibawa oleh media sosial.

Begitu juga dengan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia yang diluluskan di kedua-dua Dewan Parlimen pada Mac lalu yang dijangka membuka ruang kepada penubuhan badan bebas bagi memantau industri media negara.

Namun begitu, RSF dan beberapa pertubuhan pemantau kebebasan media antarabangsa terus menggesa kerajaan supaya memansuhkan undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang dilihat membantutkan kebebasan bersuara.

Indeks Kebebasan Media Dunia yang diterbitkan setiap tahun oleh RSF menilai tahap kebebasan media di 180 negara berdasarkan lima indikator utama: konteks politik, rangka perundangan, kebebasan media, ketelusan dan keselamatan wartawan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button