BERITA SEMASA

Malaysia penuhi kriteria jadi anggota BRICS – Timbalan PM Russia

KUALA LUMPUR – Malaysia memenuhi kriteria untuk menjadi anggota kumpulan antara negara dengan ekonomi sedang pesat membangun utama dunia, BRICS.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexey Overchuk, perbincangan mengenai potensi penyertaan Malaysia dalam BRICS telah diadakan.

“Perkara ini telah dibincangkan (mengenai keanggotaan Malaysia). BRICS merupakan kumpulan negara yang membina hubungan berasaskan saling menghormati dan prinsip konsensus.

“Tiada mana-mana negara anggota yang memaksa pandangan mereka terhadap yang lain dalam BRICS. Negara anggota bertukar pandangan mengenai isu global dan membangunkan pendekatan bersama terhadap perkara strategik yang membentuk dunia moden.

“Dalam konteks ini, Malaysia amat memenuhi kriteria tersebut,” katanya kepada pemberita di luar sidang kemuncak ASEAN, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertengahan tahun 2024 telah menyatakan minat Malaysia untuk menyertai BRICS, dengan menjelaskan bahawa matlamat blok ekonomi itu seiring dengan usaha Malaysia ke arah penglibatan multipolar dan tadbir urus global yang inklusif.

Pada Julai 2024, Malaysia secara rasmi mengemukakan surat hasrat untuk menyertai BRICS.

Malaysia kemudiannya menjadi negara rakan BRICS secara rasmi pada 1 Januari lalu, susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 yang diadakan di Kazan pada Oktober 2024.

Status tersebut diberikan ketika Russia mempengerusikan kumpulan itu, yang dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Pada 2 September lalu, Anwar berkata China telah berjanji untuk menyokong permohonan Malaysia bagi keanggotaan penuh BRICS, dan langkah itu akan membolehkan Malaysia terus memainkan peranan penting di pentas global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button