AMRENCANA

ART Malaysia–AS: Realiti diplomasi, bukan tunduk kuasa besar

PERJANJIAN Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menjadi topik hangat selepas segelintir pihak mendakwa kerajaan terlalu tunduk kepada tekanan Washington.

Namun di sebalik persepsi itu, kerajaan menegaskan perjanjian tersebut sebenarnya mencerminkan keberanian Malaysia berunding secara matang demi kepentingan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi sidang media khas penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menolak dakwaan bahawa Malaysia terlalu ‘tunduk’ kepada AS dalam perjanjian itu.

Beliau sebaliknya menyifatkan persetujuan mengenai perjanjian perdagangan itu sebagai bukti keupayaan Malaysia bernegosiasi dan menyeimbangkan hubungan dengan kuasa besar dunia tanpa mengorbankan prinsip perdagangan berlandaskan prinsip kepusatan.

“Perjanjian ini bukan lesen untuk Amerika menghalang kita daripada menjalin hubungan dengan China atau Rusia.

“Bagi saya keputusan yang kita buat itu mesti yang menjaga imej negara, kepentingan negara, ekonomi, pelaburan malah lebih penting memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebab itu mengapa kita teruskan dengan sidang-sidang (di ASEAN) dengan IMF, bank dunia dan yang lain,” tegas Anwar.

Menurut Anwar, dasar luar Malaysia kekal terbuka dan pragmatik dan pendirian itu terbukti apabila negara menandatangani Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China 3.0 sehari selepas Presiden AS, Donald Trump, berlepas pulang.

Itu menurut beliau menandakan negara tidak terikat kepada mana-mana blok kuasa dan kekal berkecuali.

“Kalau takut dengan Amerika, mana mungkin kita tandatangani perjanjian baharu dengan China sehari selepas Trump pulang,” katanya.

Anwar menegaskan, dasar diplomasi Malaysia bukan sekadar mengejar keuntungan ekonomi, tetapi berpaksikan prinsip dan maruah negara.

“Kita baik dengan Brazil dan Afrika Selatan, walaupun (hubungan) negara itu tidak disenangi sesetengah negara Barat. Kita juga bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) kerana perdagangan dan pelaburan penting kepada rakyat.

“Segala keputusan mesti menjaga imej negara, kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Malah, dalam pertemuannya dengan Trump di dalam kenderaan rasmi presiden negara itu, The Beast, Anwar turut mengambil peluang untuk menyampaikan mesej kemanusiaan berhubung konflik di Gaza.

“Saya menasihatkan Presiden Trump agar serangan di Tebing Barat dihentikan. Saya lakukan itu kerana saya Perdana Menteri Malaysia.

“Walaupun diberi penghormatan menaiki The Beast, saya tidak terpukau dengannya. Saya gunakan kesempatan itu untuk menyampaikan perkara yang benar,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam sidang Dewan Rakyat menjelaskan bahawa ART bukan sekadar urusan politik, tetapi langkah strategik menyelamatkan ekonomi negara daripada risiko lebih besar.

Kata beliau, sekiranya ART gagal dimuktamadkan, kadar tarif eksport Malaysia ke AS boleh meningkat semula antara 24 hingga 100 peratus sekaligus memberi kesan kepada sektor pembuatan, minyak sawit, getah, semikonduktor dan farmaseutikal yang merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Jika perjanjian ini tidak dimuktamadkan, besar kemungkinan kadar tarif akan menjadi lebih tinggi. Akhirnya yang menanggung beban ialah rakyat Malaysia sendiri,” jelas Zafrul.

Beliau menambah, kejayaan dalam rundingan perdagangan itu mengekalkan kestabilan pasaran serta meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap dasar kerajaan yang konsisten dan berani membuat keputusan tepat waktu.

Melalui keputusan tarif timbalas balas pada kadar 19 peratus, kerajaan berjaya mengelak perang tarif dan mengekalkan akses pasaran utama di negara kuasa ekonomi dunia itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button