BERITA SEMASA

Sidang Kemuncak ASEAN: Boleh berhimpun, tapi jangan ganggu perjalanan acara, laluan rasmi, ketenteraman awam

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan bahawa sebarang perhimpunan ketika Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung tidak boleh mengganggu perjalanan acara, laluan rasmi atau ketenteraman awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan perhimpunan ketika sidang tersebut berjalan perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan.

Beliau turut memberi amaran, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan kekacauan.

“Saya ingin mengingatkan mana-mana pihak yang bercadang mengadakan perhimpunan berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN supaya tidak mengganggu kelancaran acara tersebut.

“Tidak boleh ada sebarang aktiviti yang menjejaskan perjalanan sidang kemuncak, laluan rasmi atau ketenteraman awam.

“Tindakan sebegitu akan dianggap sebagai kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau menambah, kerjasama orang ramai bersama sokongan agensi penguatkuasaan serta jabatan kerajaan amat penting bagi memastikan kejayaan penganjuran sidang kemuncak berkenaan.

“Ini adalah acara penting untuk Malaysia kerana prestasi negara dalam menguruskan ASEAN akan menjadi tumpuan dunia.

“Sebagai agensi penguatkuasaan utama, bersama badan kerajaan lain, kami akan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang berlangsungnya sidang kemuncak ini,” katanya lagi.

Fadil seterusnya turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil maklum mengenai laluan yang terjejas atau sebarang lencongan jalan serta menggunakan jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

“Kami menjangka cabaran trafik sepanjang acara besar ini, justeru kami memohon kerjasama orang ramai untuk mengelak laluan yang terlibat dan merancang perjalanan lebih awal.

“Kenderaan komersial juga diingatkan supaya mematuhi waktu larangan perjalanan, manakala orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan kesesakan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button