Trump puji Malaysia sebagai negara hebat sebelum berlepas ke Jepun
KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji Malaysia sebagai “negara yang hebat dan sangat meriah” selepas lawatan sehari beliau di Kuala Lumpur semalam.
“Baru sahaja meninggalkan Malaysia, sebuah negara yang hebat dan sangat meriah. Telah menandatangani perjanjian perdagangan utama dan Rare Earth Deals.
“Dan yang paling penting semalam, menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja. Tiada peperangan. Jutaan nyawa terselamat. Sungguh satu kehormatan dapat merealisasikan ini. Sekarang, ke Jepun!” kata Trump di platform X hari ini.

Ketibaan Trump di Malaysia semalam disambut meriah termasuk persembahan tarian kebudayaan oleh rakyat Malaysia yang menampilkan pelbagai adat dan muzik tradisional.
Dalam detik istimewa itu, Trump dilihat turut menari bersama para penari sebagai tanda hormat dan penghargaannya terhadap budaya tempatan.
Trump akan berlepas ke Jepun hari ini bagi melengkapkan bahagian kedua jelajah Asia yang kemuncaknya dijangka mengadakan pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping.
Lawatan ini merupakan yang pertama bagi Trump ke rantau Asia sejak kembali memegang jawatan Presiden.
Sepanjang lawatan di Malaysia, Trump menandatangani beberapa perjanjian penting, termasuk perjanjian perdagangan dan mineral dengan Malaysia.
Malah beliau turut memberi ganjaran kepada negara jiran, Kemboja dan Thailand melalui perjanjian perdagangan selepas kedua-duanya menandatangani perjanjian gencatan senjata mereka di luar Sidang Kemuncak ASEAN.

Trump juga berusaha memperbaiki hubungan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva selepas beberapa bulan berlaku ketegangan diplomatik.
Beliau menyifatkan rundingan itu sebagai peluang untuk mencapai “beberapa perjanjian yang cukup baik” bagi kepentingan kedua-dua negara.
Lawatan itu juga menandakan penghormatan diplomatik yang tinggi terhadap Malaysia.
Pesawat kepresidenan Trump diiringi dua jet pejuang F-18 Malaysia ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau disambut dengan hamparan permaidani merah serta kibaran bendera Malaysia dan Amerika Syarikat, selari dengan protokol rasmi ketua negara.
Lawatan sehari Trump ke Kuala Lumpur bukan sahaja bertumpu kepada rundingan ekonomi, malah memperkukuh kerjasama keselamatan dan diplomasi serantau, selaras dengan peranan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















