BERITA SEMASAPMX

Malaysia tegas bersuara demi kemanusiaan, kutuk penindasan di Gaza – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan terus bersuara menentang kezaliman dan penindasan khususnya berkaitan situasi di Gaza, seiring dengan prinsip moral dan hak asasi manusia sejagat.

Menurut kenyataan beliau di media sosial, dunia kini sedang diuji dengan surutnya nilai keadilan dan kemanusiaan, malah institusi antarabangsa yang dahulu menjadi sandaran kini kian hilang arah.

Justeru, Malaysia memilih untuk tidak tunduk kepada tatanan dunia yang pincang, sebaliknya tampil dengan sikap dan iltizam baharu untuk memperjuangkan order dunia berasaskan nurani dan prinsip kemanusiaan.

“Kita menolak sikap tempang yang membenarkan penjajahan moden dan penindasan atas nama kuasa dan kepentingan.

“Dalam menyuarakan pendirian mengenai Gaza, kita sedar bahawa bungkam bererti mengakui persekongkolan. Malaysia tidak mahu menjadi penonton kepada kehancuran dan kezaliman,” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan bahawa keamanan sejagat bukan sekadar gencatan senjata, tetapi mesti menjadi medium bagi kebangkitan harga diri dan hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri.

“Malaysia akan terus mengangkat dasar ‘active non-alignment’ iaitu bukan berkecuali tanpa pendirian tetapi bebas berdasarkan prinsip,” katanya.

Menurut Anwar, pendekatan itu merupakan wajah negara MADANI yang berani bersuara, teguh dengan nilai dan yakin bahawa dunia yang adil dan manusiawi bukan utopia, tetapi tanggungjawab moral bersama untuk menolak kezaliman dan penindasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button