BERITA SEMASAPMX

Malaysia akan bina sekolah, hospital dan masjid di Gaza

KUALA LUMPUR – Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai sebahagian daripada usaha permulaan untuk membangunkan semula Gaza, Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, usaha pembinaan semula ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.

“Ia sebagai usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya dalam satu rakaman video hari ini.

Anwar turut menjelaskan bahawa usaha pembangunan semula Gaza itu melibatkan kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Jepun.

“Kedua-dua negara berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur bagi membantu pemulihan Gaza,” katanya lagi.

Beliau berkata, pembinaan semula Gaza memerlukan kos yang tinggi dengan anggaran melebihi AS$1 trilion ekoran kemusnahan besar-besaran akibat serangan Israel sejak Oktober 2023.

“Jumlah besar diperlukan kerana banyak kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama dalam Persidangan mengenai Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Persidangan itu akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan semula Gaza.

Malaysia secara konsisten menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan menggesa penyelesaian segera terhadap konflik di wilayah tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button