PM lancar ‘ILMU’, model AI pelbagai mod pertama buatan Malaysia
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan model kecerdasan buatan (AI) multimodal pertama yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia, ‘ILMU’ yang direka khusus untuk bahasa, budaya dan konteks tempatan.
Dibangunkan bersama oleh YTL AI Labs dan Universiti Malaya, ILMU, iaitu singkatan kepada Intelek Luhur Malaysia Untukmu direka dengan penekanan kepada konteks tempatan, etika serta keselamatan.
Pelancaran ILMU yang juga model bahasa besar (LLM) merupakan kemuncak kepada inisiatif AI negara, yang turut menyaksikan penggunaan superkomputer AI negara pertama yang ditempatkan di pusat data hijau YTL Power di Johor.
Superkomputer itu dilengkapi cip GB200 “Grace Blackwell” keluaran NVIDIA melalui platform DGX Cloud, yang memberikan keupayaan pengkomputeran canggih bagi latihan dan penggunaan AI berskala besar.
Versi pertama ILMU, iaitu ILMU 0.1 yang dilancarkan pada Disember 2024, berjaya mengatasi beberapa model AI antarabangsa dalam ujian penanda aras bahasa Melayu, selain lulus peperiksaan PT3 dan SPM dengan keputusan cemerlang.
Pelancaran ILMU dibuat semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia yang turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Baca juga : Malaysia perlu manfaat teknologi AI tingkat kesejahteraan rakyat – PM
Dalam majlis sama, Gobind turut memuji penciptaan ILMU, sejajar dengan visi negara untuk masa depan dipacu oleh teknologi, keterangkuman dan kerelevanan budaya.
“Penciptaan ILMU menunjukkan keupayaan rakyat Malaysia dalam menghasilkan model AI bertaraf dunia di samping mengekalkan identiti dan budaya kita,” katanya sambil menambah ILMU adalah langkah memperkasa negara dan rakyat dalam mengharungi era digital.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menggariskan lima tonggak utama bagi menggerak dan menentukan hala tuju teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah Negara AI.
Perdana Menteri berkata, berdasarkan Rangka Kerja Negara AI, lima tonggak utama itu ialah dasar berpandangan jauh; tenaga kerja tangkas dan celik digital serta infrastruktur digital yang selamat dan boleh dipercayai.
Selain itu, kemajuan kepercayaan digital serta pelaburan strategik yang membangunkan ekosistem AI menerusi kerjasama awam-swasta dan kolaborasi global.
“Lima tonggak itu akan menggerakkan Ekonomi MADANI yang menekankan aspek keterangkuman, kebolehpercayaan dan kesediaan AI bagi kegunaan sebenar serta membawa kemajuan teknologi yang bersifat inklusif dan berdaya saing,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








