Mujahid kecam kenyataan Hadi sandarkan al-Quran kepada PM, PH dan DAP
KUALA LUMPUR – Kenyataan yang mengaitkan kedudukan al-Quran dengan Perdana Menteri, Pakatan Harapan (PH) dan DAP disifatkan mengelirukan serta menyimpang daripada prinsip sebenar Islam, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau merujuk ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada Rabu yang mengaitkan ungkapan mengenai adat, syariah dan al-Quran dengan kepimpinan negara serta gabungan politik.
Mujahid berkata, penambahan unsur politik dalam ungkapan berkenaan tidak berasaskan prinsip asal, malah berpotensi mewujudkan persepsi salah dalam kalangan masyarakat.
“Bagi saya, ini adalah satu kenyataan yang boleh kita sifatkan sebagai bid’ah kerana prinsip itu tidak wujud pun dan tidak ada siapa pun yang berkata demikian,” katanya dalam hantaran video di laman sosial, hari ini.
Menurutnya, ungkapan yang mengaitkan al-Quran dengan Perdana Menteri, seterusnya Perdana Menteri dengan PH dan PH dengan DAP, bukan sahaja tidak tepat, malah boleh menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan kitab suci itu.
“Al-Quran tidak boleh disandarkan kepada mana-mana pihak. Bahkan, apabila kita menyatakan al-Quran itu disandarkan kepada Perdana Menteri, ia bukan sekadar satu bid’ah tetapi kenyataan yang sangat jahat,” katanya.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa prinsip kepimpinan dalam Islam perlu berteraskan keadilan yang berpandukan syariah, bukannya menjadikan mana-mana pemimpin atau parti sebagai sandaran kepada al-Quran.
“Yang betul dalam prinsip siyasah syariah ialah pemimpin bersendikan keadilan. Keadilan itu ditentukan oleh syariah,” katanya.
Dalam pada itu, Mujahid menjelaskan PH merupakan gabungan beberapa parti politik yang membuat keputusan secara bersama, bukannya gabungan yang hanya mewakili atau didominasi DAP seperti gambaran yang cuba ditimbulkan.
“Pakatan Harapan itu adalah satu koalisi politik yang bukan sekadar satu koalisi politik yang hanya melibatkan DAP atau dominasi DAP, tetapi ia merupakan koalisi politik daripada gabungan pelbagai parti,” katanya.
Beliau berkata, setiap keputusan dalam gabungan itu tertakluk kepada persetujuan bersama dan tidak boleh disandarkan kepada mana-mana parti secara mutlak.
Mujahid turut membangkitkan kemelut politik di Negeri Sembilan yang menurutnya tidak berpunca daripada PH, DAP mahupun Perdana Menteri, sebaliknya mengaitkannya dengan tindakan Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada tindakan yang mencetuskan pertikaian politik, termasuk dakwaan berkaitan ketaatan kepada pemerintah dan institusi kesultanan, benar-benar selari dengan tuntutan al-Quran.
“Kalau adat bersendikan syariah dan syariah bersendikan al-Quran, maka apa kata al-Quran apabila kita menderhaka kepada pemerintah dan Sultan?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menyebarkan fitnah, pembohongan dan penipuan tidak mencerminkan pegangan kepada ajaran al-Quran.
“Apalagi kata al-Quran kalau kita menimbulkan fitnah, pembohongan, penipuan? Itu bukan lagi bersendikan al-Quran, tetapi itu bersendikan hawa nafsu,” katanya.
Pada masa sama, Mujahid mengingatkan supaya DAP tidak terus dijadikan modal politik untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu demi meraih sokongan.
Beliau berkata, Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP ketika kedua-dua parti berada dalam gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Justeru, beliau menegaskan bahawa perbezaan politik perlu ditangani berlandaskan fakta, amanah dan keadilan, bukannya dengan memanipulasi agama atau memainkan sentimen perkauman demi kepentingan pihak tertentu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








