Pemandu lori tangki maut rempuh tiang elektrik
KLUANG – Seorang pemandu lori tangki maut selepas kenderaan berat yang membawa muatan makanan haiwan dipandunya terbabas, merempuh dua tiang elektrik sebelum terbalik ke dalam semak di Kilometer 68, Jalan Yong Peng-Kluang, berhampiran lapang sasar, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Murugan Letchumanan, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Batu 4 menuju ke Bulatan Taman Sri Lambak.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh dua tiang elektrik.
“Akibat kejadian itu, pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.
“Mayat kemudian dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Enche’ Besah Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








