RM5 juta ubah wajah Stesen LRT Masjid Jamek, dijangka siap hujung 2027
KUALA LUMPUR – Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek bakal tampil dengan wajah lebih menarik dan mesra pengguna menerusi projek pengindahan bernilai hampir RM5 juta yang dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2027.
Projek yang dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu bukan sekadar menambah baik penampilan stesen, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada aspek keselesaan, keselamatan dan kemudahan pengguna pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap penambahbaikan yang dilaksanakan perlu memberikan manfaat nyata kepada rakyat, selaras dengan peranan stesen berkenaan sebagai antara hab pengangkutan penting di ibu negara.
“Saya mahu penambahbaikan ini bukan sekadar menjadikan stesen lebih cantik, tetapi benar-benar meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan kepada pengguna.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek, di sini hari ini.
Menurutnya, stesen berkenaan merekodkan purata kira-kira 1.39 juta penumpang sebulan, sekali gus memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan harian warga kota.
Projek yang dilaksanakan secara berfasa sejak 2025 itu merangkumi empat komponen utama, iaitu menaik taraf kawasan Jalan Benteng dengan penyediaan ruang awam dan komersial, meningkatkan pencahayaan di Jalan Tun Perak, memperluas elemen penghijauan serta menambah baik sistem pandu arah di sekitar stesen.
Anthony berkata, kedudukan strategik stesen itu di tengah kawasan bersejarah Kuala Lumpur turut menjadikannya pintu masuk penting ke destinasi warisan seperti Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
Justeru, katanya, penambahbaikan itu diharap dapat menghubungkan pengguna pengangkutan awam dengan lebih baik kepada aktiviti ekonomi, kebudayaan dan pelancongan di kawasan sekitarnya.
“Kita mahu stesen ini bukan sahaja berfungsi sebagai hab pertukaran rel, tetapi turut menghubungkan pengguna dengan aktiviti ekonomi, kebudayaan dan pelancongan di kawasan sekitarnya.
“Ini juga penting dalam usaha memperkukuh daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata, stesen pengangkutan awam pada masa hadapan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai tempat penumpang menaiki dan turun daripada tren, sebaliknya berpotensi menjadi pusat tumpuan komuniti, kegiatan komersial serta pelancongan.
Menurutnya, pembangunan ruang niaga baharu di Jalan Benteng juga dijangka memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna, selain membuka peluang perniagaan dan merancakkan ekonomi setempat.
Usaha itu diharap dapat menjadikan kawasan sekitar LRT Masjid Jamek lebih selesa dan menarik, sekali gus memperkukuh hubungannya dengan kawasan warisan serta tarikan pelancongan utama di ibu negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








