Rejim zionis arah tentera siap sedia kepung Tebing Barat
TEL AVIV – Rejim zionis Israel hari ini mengarahkan pasukan tenteranya bersiap sedia bagi penutupan penuh Tebing Barat berikutan insiden tembakan berhampiran Hebron.
Laporan Sky News yang memetik kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebagai berkata, pasukan tentera telah diarahkan untuk mengepung bandar berkenaan dan bersedia untuk menutup sepenuhnya seluruh wilayah Palestin yang diduduki itu.
Arahan itu dikeluarkan selepas tentera Israel mengumumkan telah membunuh dua lelaki bersenjata yang melancarkan serangan tembakan sehingga mencederakan lima orang, termasuk beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal.
Tentera Israel mendakwa berjaya menggagalkan “serangan pengganas ke atas orang awam Israel” dan menyatakan bahawa lelaki bersenjata berkenaan membawa senapang M16 serta pistol.
Walau bagaimanapun, pihak tentera tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai sasaran serangan yang didakwa itu.
“Nampaknya pengganas Hamas sedang merancang satu serangan besar-besaran yang bertujuan membunuh orang awam yang tidak berdosa, seperti yang dibuktikan melalui penemuan sejumlah besar senjata dan peluru.
“Askar-askar kita yang berani telah menggagalkan serangan ini dengan penuh keberanian dan keazaman. Saya memuji tindakan mereka dan mendoakan agar mangsa kita yang tercedera cepat sembuh,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Dia seterusnya berkata, susulan kejadian tentera Israel dan pasukan keselamatan diarah untuk mengepung bandar Hebron dengan serta-merta serta mengambil langkah keselamatan tambahan bagi mencegah serangan pengganas yang berpunca dari Yudea dan Samaria.
Insiden tembakan itu berlaku ketika pengundi Israel bakal memutuskan pada Selasa depan sama ada untuk memberi mandat sekali lagi kepada Netanyahu sebagai perdana menteri atau membuka tirai era baharu dalam politik Israel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








