Yusuf Bahrin tak tolak kemungkinan ceburi politik
KUALA LUMPUR – Pelakon, Yusuf Bahrin tidak menolak kemungkinan melangkah ke arena politik pada masa depan, memandangkan bidang itu turut menjadi antara minatnya selain kerjaya dalam dunia seni.
Yusof atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, berkata, politik mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan masyarakat dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara, memetik laporan Kosmo.
“”nsya-Allah. Saya berminat juga dalam bidang politik kerana dekat dengan diri, masyarakat dan sangat penting untuk negara,” katanya.
Menurutnya, dia sebelum ini pernah berkongsi pandangan mengenai perkembangan politik menerusi media sosial, termasuk menyatakan perkara yang disokongnya, namun memilih untuk tidak terlalu terbuka dalam menyuarakan pendirian.
“Perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat perlu dihormati dan saya tidak mahu menimbulkan permusuhan dengan pihak lain.
“Bukan semua mampu terima pandangan kita. Setiap orang ada sudut pandangan yang berbeza. Saya tak mahu cari musuh.
“Saya takut orang yang baca itu anggap saya musuh dia. Jadi saya ‘tone down’,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri Pickle Rival, semalam.
Mengulas kemungkinan menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung, Yusof menjelaskan bahawa dia tidak terbabit secara langsung dalam kempen berkenaan.
Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk membantu rakan-rakannya yang terlibat dalam pilihan raya itu sekiranya diperlukan, tanpa mengira parti politik yang diwakili mereka.
“Saya ada rakan-rakan yang terlibat dalam PRN Melaka, jadi kita tolong-tolong mana yang boleh. Tak kisahlah mana-mana parti pun yang kita berkawan, kalau mereka minta tolong, kita tolong.
“Tetapi saya tidaklah mempromosikan terlalu ekstrem. Saya masih kawal. Cuma apa yang saya kongsi dalam media sosial itu sedikit sahaja. Orang kata macam bibit-bibit awal untuk saya ceburkan diri dalam bidang politik,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof menjelaskan panggilan YB yang sering dikaitkan dengannya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan jawatan atau penglibatan politik.
Sebaliknya, gelaran itu sekadar singkatan daripada namanya, Yusuf Bahrin, yang pada awalnya digunakan oleh rakan-rakan rapat sebelum menjadi panggilan yang semakin sinonim dengannya.
“Nama saya Yusuf Bahrin. Kebanyakan kawan yang rapat dengan saya panggil saya YB sebab singkatan nama saya. Lama-lama melekat pula nama YB tu. Tak ada kena mengena dengan politik pun,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








