Zahid teliti tindakan terhadap dua Ahli Parlimen BN digantung di Sabah
KOTA KINABALU – UMNO akan menilai secara menyeluruh dari segi aspek perundangan dan politik sebelum memutuskan sebarang tindakan terhadap dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dilaporkan bakal bertanding menggunakan tiket parti lain pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua wakil rakyat terbabit kini digantung keahlian dan sebarang keputusan akan dibuat selepas penelitian rapi dilakukan oleh kepimpinan parti.
“Mereka sekarang memang digantung dan menurut laporan, akan bertanding di bawah payung politik lain. Jadi, kita akan lihat daripada segi aspek perundangan dan juga politik,” katanya memetik laporan Sinar Harian selepas menyempurnakan Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Pantai Odec, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, tindakan yang diambil perlu berpaksikan undang-undang sedia ada termasuk Akta Anti Lompat Parti, selain mengambil kira kesan terhadap kekuatan parti di Sabah menjelang PRN akan datang.
Difahamkan, dua individu dimaksudkan ialah Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Ahli Parlimen Putatan merangkap penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, serta Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Ahli Parlimen Kalabakan yang juga ADUN Tanjung Batu.
Kedua-dua mereka sebelum ini digantung keahlian selepas mengambil pendirian menyokong kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun UMNO adalah sebahagian daripada blok pembangkang negeri.
UMNO Sabah sebelum ini turut menegaskan tidak akan mencalonkan semula kedua-dua penyandang berkenaan pada PRN17, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa mereka bakal bertanding atas tiket parti lain.
Keputusan muktamad mengenai kedudukan kedua-dua wakil rakyat itu dijangka dibuat selepas kepimpinan pusat selesai menilai semua implikasi politik dan perundangan terhadap parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








