Literasi pertahanan perkukuh kesedaran tanggungjawab pertahan negara
KOTA KINABALU – Literasi pertahanan perlu diperkasa bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai kepentingan mempertahankan kedaulatan negara serta menghayati konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tanggungjawab mempertahankan negara tidak seharusnya dilihat sebagai tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat.
Beliau berkata, kefahaman dan penglibatan aktif masyarakat penting bagi memastikan Malaysia kekal bersatu, stabil dan berdaulat dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran serta ancaman moden.
“Melalui Literasi Pertahanan, penglibatan aktif serta kefahaman awam amat kritikal sebagai tunggak utama yang memastikan negara kekal stabil dan berdaulat,” katanya dalam kenyataan di Facebook Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Literasi Pertahanan Nasional Kementerian Pertahanan di sini, semalam.
Inisiatif itu merupakan langkah strategik kementerian untuk meningkatkan kefahaman rakyat mengenai pertahanan negara, selain memperkukuh penghayatan terhadap konsep HANRUH yang menekankan penglibatan seluruh masyarakat dalam aspek keselamatan dan pertahanan.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif MiDAS, Laksamana Madya Datuk Yusne Mokhtar serta wakil agensi, institusi dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan serta ATM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








