BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Skuadron Rapid Rail perkukuh HANRUH, sokong operasi rel negara

PETALING JAYA – Pasukan simpanan seperti Askar Wataniah kekal sebagai komponen kritikal dalam sistem pertahanan negara dan tidak boleh dipandang ringan dalam memastikan keamanan terus terpelihara, kata
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed.

Khaled berkata, negara tidak boleh hanya bergantung kepada anggota tetap semata-mata, sebaliknya memerlukan masyarakat yang memahami aspek pertahanan serta bersedia tampil sebagai sukarelawan demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Pendekatan itu berteraskan konsep “Whole-of-Government and Whole-of-Society” (WoGoS) serta Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menuntut penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi berkaitan, industri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata,
pasukan simpanan, termasuk Askar Wataniah, berperanan sebagai ‘force multiplier’ ketika berdepan konflik berskala besar atau ancaman luar jangka.

“Justeru, kerajaan akan terus memperkukuh pasukan simpanan selari dengan matlamat nisbah 1:1, menuju sasaran pasukan simpanan yang setara dengan kekuatan kira-kira 140,000 anggota tetap ATM,” katanya.

Tambah beliau, pasukan simpanan akan terus diperkasa merentas pelbagai bidang kepakaran seperti perubatan, teknologi maklumat, pelabuhan, air, telekomunikasi, jana kuasa elektrik serta komunikasi.

Dalam pada itu, skuadron yang diluncurkan berperanan dalam aspek perlindungan, sokongan teknikal dan pemulihan infrastruktur rel bandar ketika kecemasan, krisis atau ancaman keselamatan termasuk bencana alam, sabotaj dan gangguan operasi berskala besar.

Langkah tersebut, katanya, bagi memastikan kesinambungan operasi LRT, MRT dan Monorel sebagai infrastruktur kritikal negara terus terjamin demi kelancaran pergerakan rakyat serta kelangsungan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan ekosistem menyeluruh akan terus dibangunkan meliputi insentif, peraturan, undang-undang serta sokongan industri bagi memastikan matlamat memperkukuh pasukan simpanan negara dapat direalisasikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button