BERITA SEMASAPOLITIK

Kritik pemilihan PKR: Rafizi pertahan hak bersuara orang awam

KUALA LUMPUR – Intimidasi terhadap orang awam yang mengkritik atau memberikan pandangan berbeza berhubung pemilihan PKR 2025 mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan bersuara di negara ini, kata Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, tindakan pihak tertentu yang menggunakan kuasa bagi menekan orang awam telah menimbulkan persepsi buruk terhadap pentadbiran kerajaan.

Beliau mendedahkan, sejak minggu lalu, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada orang awam yang telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kandungan di platform X yang disiasat selalunya adalah pandangan peribadi seorang rakyat biasa mengenai perjalanan atau keputusan pemilihan PKR yang tidak melanggar apa-apa undang-undang.

“Setelah saya meneliti aduan-aduan ini, saya berpendapat kaedah ini hanyalah satu bentuk intimidasi untuk menekan orang awam dari tidak lagi buat kandungan mengenai perjalanan dan keputusan pemilihan PKR 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga : Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi

Terdahulu, Rafizi mengumumkan akan mengosongkan jawatan Menteri Ekonomi yang disandangnya berkuat kuasa 17 Jun ini selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi posisi Timbalan Presiden pada pemilihan PKR 2025 baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau percaya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak memberikan arahan supaya orang awam dikenakan tindakan sedemikian.

Justeru itu, Rafizi tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang berselindung di sebalik nama-nama menteri, yang memberi arahan kepada MCMC atau PDRM untuk menekan orang awam.

Rafizi mendakwa, arahan tersebut dibuat hanya kerana pandangan orang awam mengenai pemilihan PKR 2025 tidak sealiran dengan pandangan menteri tersebut.

“Saya telah pun berbincang dengan peguam-peguam sukarela yang akan mewakili orang awam yang dikenakan intimidasi seperti ini.

“Jika ada pelanggaran peraturan atau undang-undang, orang awam yang menjadi mangsa intimidasi seperti ini akan dinasihati untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” ujarnya.

Susulan itu, Rafizi menggesa agar segala bentuk tekanan tersebut dihentikan segera dan meminta pihak berkuasa tidak mencampurkan urusan politik dengan tanggungjawab rasmi kerajaan.

“Saya menasihati pimpinan politik yang diberi amanah untuk mentadbir kementerian masing-masing supaya tidak mencampur aduk pandangan politik dengan urusan rasmi kerajaan.

“Saya juga menasihati penjawat-penjawat awam supaya tidak terheret dan tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu yang mencampur aduk tanggungjawab harian sebagai penjawat awam, dengan tindakan politik seperti ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button