POLITIK

PKR fokus kos sara hidup dan PRN Sabah

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar berkaitan kos sara hidup serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam Mesyuarat Pertama Biro Politik bagi sesi 2025/2028 yang berlangsung petang semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden, dan dihadiri Timbalan Presiden serta barisan Naib Presiden itu turut mengambil kira impak pelaksanaan dasar-dasar eksekutif terhadap rakyat, di samping membincangkan langkah susulan bagi memastikan manfaat yang dibawa terus dirasai masyarakat.

“Langkah-langkah susulan turut diperhalusi bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti,” menurut kenyataan Biro Politik PKR hari ini.

Perbincangan turut tertumpu kepada PRN Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat, dengan penekanan diberikan terhadap kesiapsiagaan jentera parti.

Timbalan Presiden serta semua Naib Presiden diberikan tugasan khas untuk memastikan kemenangan parti dan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani.

Bagi menjamin kesinambungan persiapan pilihan raya, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Mustapha Sakmud, kekal menerajui peranan tersebut sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan negeri yang baharu.

Dalam konteks sama, Peto Galim akan terus menjalankan tugas sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Negeri (JPRN) Sabah.

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan bahawa Fuziah Salleh dan William Leong akan kekal menjalankan tugas masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button